Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya sekiranya dinaik taraf, ia mampu menjadi tarikan pelancong ke negeri ini.

"Beta yakin, produk-produk (terabai) pelancongan berasaskan sukan dan pertanian itu boleh menjadi tarikan pelancong," titah baginda.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyertai program #PERGHLIS KAMI PEDULI 2018 anjuran Alumni Penang Free School (PFS Batch 1980-1984) di Masjid Al-Mukminin Kota Kayang, Kuala Perlis, dekat sini hari ini.

Lebih 80 orang bekas pelajar serta ahli keluarga mereka dari seluruh negara berkampung selama tiga hari dan dua malam, untuk menjalani pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Antaranya ialah gotong royong membersihkan kawasan, memasak, mengecat masjid, kenduri rakyat dan juga pembukaan kaunter-kaunter khidmat nasihat serta aduan sambil melawat tempat-tempat menarik di negeri ini.

Turut diadakan ialah kayuhan berbasikal Semarak Hari Malaysia yang disekalikan dengan program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-67 tahun ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh ketua delegasi yang juga Pengarah Bahagian Perolehan dan Rangkaian Bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Mohamed Ghous Ahmad dan Ketua Penyelaras Program, Mohd. Redzuan Sheriff.

Turut hadir ialah Pegawai Kewangan negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Program yang julung-julung kalinya diadakan di Perlis itu adalah bagi mengadakan kunjungan hormat ke atas baginda yang juga merupakan salah seorang alumni PFS.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada pihak MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Para peserta turut tidak melepaskan peluang menghadiri sesi tazkirah yang disampaikan oleh Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. - UTUSAN ONLINE