Autonomi penuh itu yang merangkumi kebebasan pemili­han laluan penerbangan lebih menguntungkan dan pembelian kapal terbang yang efisien dilihat mampu dilaksanakan oleh pihak pengurusan MAS.

Itu merupakan cadangan Pengarah Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid yang berpandangan MAS ketika ini mengalami ‘krisis identiti’ sama ada syarikat penerbangan bersifat komersial atau kebajikan disebabkan tanggungjawab sosial yang dipikulnya.

Pada masa sama, Baharom turut mencadangkan supaya kebebasan penuh itu juga perlu dibatasi oleh kewujudan Majlis Penasihat MAS yang dianggotai pakar-pakar penerbangan termasuk bekas pengurusan kanan syarikat penerbangan itu sendiri.

“MAS sebagai syarikat penerbangan kebanggaan negara wajar mengalami beberapa perubahan termasuk mengecilkan kos operasi dan memberi fokus terhadap perniagaan. Satu daripadanya ialah dengan mengurangkan laluan penerbangan tidak menguntungkan dan bersifat tanggungjawab sosial.

“Jika dibandingkan MAS dengan Singapore Airlines, walaupun usia kedua-duanya lebih kurang sama tetapi syarikat penerbangan Singapura itu lebih maju disebabkan tiada tanggungjawab sosial,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas sama ada MAS perlu mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa yang lebih berdaya maju, Baharom berpendapat perkara tersebut tidak mustahil namun dilihat berisiko tinggi.

Jelas beliau, kerjasama strategik seperti yang dilakukan Proton Holdings Berhad (Proton) dengan Zhejiang Geely Holding (Geely) perlu diteliti sebaiknya supaya identiti kebangsaan dalam MAS tidak hilang begitu sahaja.

“Kerjasama dengan syarikat asing itu bagus namun MAS perlu mempunyai hak dalam menentukan keputusan. Jangan biarkan syarikat yang menjalinkan kerjasama itu seolah-olah ‘menguasai’ MAS,” ujar beliau.