Saiful Azri berkata, sebagai anak sulung dia tidak sanggup melihat adik-adiknya tercicir dalam pelajaran hanya kerana kesempitan hidup mereka justeru, memaksanya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah seketika dan mencari pendapatan sampingan.

Pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra ini berbaloi apabila dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 sekali gus menjadi antara 47 pelajar terbaik STPM di negeri ini.

Katanya, selama dua minggu bekerja sebagai pembantu sebuah kedai dia diberi upah kira-kira RM700 manakala pada sebelah malam dia menjual burger berhampiran rumahnya.

"Saya tidak kisah melakukan semua kerja itu kerana niat hati mahu membantu ibu yang cuma mengambil upah menjahit baju dan ayah pula petani," katanya yang bercita-cita menjadi peguam.

Sementara itu, dua pelajar sekolah berkenaan yang turut meraih keputusan sama ialah Farah Nur Sophia Aminuddin dan Norhanim Sofie Mahasan manakala Mohamad Zulkifi Shamsudin memperolehi PNGK 3.92, Puti Nor Alia Mohamad Zani (3.84) dan Nurmurni Izzati Zukiman (3.75). - UTUSAN ONLINE