Program julung kali anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Pengarah JPNIN negeri, Norwahidah Zinalibdin berkata, para peserta yang terdiri daripada penduduk Orang Asli di sekitar kampung itu; Kawasan Rukun Tetangga (KRT); agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menggunakan 25 buah rakit buluh menghilir sungai tersebut sejauh 10 kilometer yang mengambil masa hampir lima jam.

“Ini kali pertama kita mengadakan kempen kibar Jalur Gemilang dengan berakit beramai-ramai yang disertai pelbagai kaum.

“Selalunya kita buat di dewan terbuka, sekolah atau pasar raya terkemuka di negeri ini. Bagaimanapun kali ini kita mahu menikmati alam sekitar dan kita bersyukur apabila cuaca mengizinkan dan dapat menamatkan program dengan jayanya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Yang turut serta dalam program berkenaan, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Zulqarnain Zakaria.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Kundur, Mohd. Salmizi Abu Hanifah berkata, penyertaan mereka membuktikan masyarakat di pedalaman negeri ini juga tetap bersemangat patriotik menyertai program bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan Negara.

“Kita melihat peserta bersemangat dan bekerjasama bagi mengendalikan rakit mereka daripada tenggelam dan hanyut.

“Kita juga menempuh perjalanan mencabar apabila rakit tersangkut batu sungai dan terbalik. Bagaimanapun, semua peserta berjaya menamatkan aktiviti berakit ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Kampung Angkek, Nora Kantin, 32, berkata, mereka gembira apabila kawasan kampung mereka terlibat dalam program kenegaraan pada tahun ini.

"Sebelum ini kita perlu ke kawasan bandar untuk menyambut Hari Kebangsaan. Kita berharap Orang Asli terlibat sama dalam program Hari Kebangsaan. Walaupun kita tinggal di pedalaman kita tetap bersemangat patriotik terhadap negara.

“Kita mahu program sebegini diperluaskan dan tidak mahu Orang Asli dipinggirkan terutamanya ketika sambutan kempen Kibar Jalur Gemilang,” katanya. - UTUSAN ONLINE