Pengarah Eksekutif Sibermedia, Ainol Amriz Ismail berkata, bengkel itu akan memberi fokus kepada panduan dan teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul mengikut kehendak serta piawaian peperiksaan.

Pada masa sama, katanya, bengkel itu diadakan bagi membantu murid-murid tahun enam yang menghadapi kesukaran terutama dalam subjek Sains.

“Melalui soal selidik yang kami jalankan, kami dapati kebanyakan murid menghadapi masalah bagaimana mahu menjawab soalan KBAT dalam mata pelajaran Sains.

“Memandangkan peperiksaan UPSR hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, pada bengkel ini peserta akan didedahkan kepada teknik dan strategi menjawab soalan oleh guru yang berpengalaman,” katanya di sini hari ini.

Memberitahu bengkel tersebut turut diadakan untuk memberi pemahaman yang menyeluruh kepada murid-murid, Ainol menjelaskan, secara tidak langsung ia membantu calon peperiksaan mendapat markah maksimum sekali gus berupaya untuk skor A dalam mata pelajaran Sains.

Bengkel separuh hari itu yang akan diadakan di Studio Pintar, Aras 6, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin di sini mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 termasuk minum pagi dan makan tengah hari selain cenderamata disediakan untuk para peserta.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai bengkel ini atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-92324622 (Maria) atau 03-92324659 (Ema). - UTUSAN ONLINE