Bengkel itu akan diadakan di Dewan Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini pada hari pertama dan Bazar MAINS di Jalan Dato Abdul Rahman dekat sini pada hari kedua.

Bengkel itu adalah anjuran Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan bersama Persatuan Peniaga Bazar MAINS Seremban.

Pengarah program, Datuk Nazri Kamal berkata, bengkel itu yang julung kali dianjurkan di sini bertujuan memupuk minat dalam kalangan anak muda dan pelajar dalam membudayakan pemakaian tanjak dan tengkolok.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bentan Malaysia berkata, ia diharap dapat mendidik generasi muda menyayangi dan mengekalkan warisan budaya serta adat yang menjadi identiti negara ini.

"Bengkel ini dapat meningkatkan pemahaman mereka mengenai tanjak dan tengkolok bermula daripada konsep, jenis dan cara-cara membuat busana tersebut.

"Keupayaan membuat busana ini kemudiannya boleh diteruskan untuk dijadikan sumber pendapatan yang memberi pulangan lumayan," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan, Mohd. Zairi Abdul Razak.

Mengulas lanjut mengenai peserta program, Nazri memberitahu, selain Jepun, pihaknya juga menerima peserta dari Singapura dan Indonesia serta peserta tempatan termasuk 30 wanita.

"Bengkel ini dianjurkan secara percuma," tambahnya.

Jelasnya, pihaknya merancang untuk menganjurkan bengkel yang sama di seluruh daerah di negeri ini dan institusi pengajian tinggi (IPT). - UTUSAN ONLINE