Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pada masa ini tidak ada sebab untuk Dr. Mahathir berhenti lebih awal kerana tempoh itu sudah dipersetujui pimpinan PH sendiri melainkan jika sebenarnya wujud masalah dalaman.

 Beliau berkata, Perdana Menteri mesti diberi ruang untuk mentadbir kerana suasana politik yang tidak menentu akan menimbulkan persepsi kurang baik dunia kepada negara sekali gus mengurangkan keyakinan pelabur.

 "Perdana Menteri pun sudah sebut dia akan berpegang kepada janji, jadi kenapa benda ini diperbesar kecuali ada masalah dalaman kalangan PH sendiri.

 "Jadi tunggulah, ini baru setahun lebih, kenapa yang bersungguh-sungguh sangat, nampak sangat macam berebut dalam pimpinam PH, ini tidak baik untuk negara, sebab dia tunjukkan kepada masyarakat luar bahawa kita tidak stabil, bahawa kerajaan dan politik negara tidak stabil, faktor ini boleh sebabkan pelabur-pelabur lari.

 "Kita sekarang berhadapan masalah ekonomi, duit makin teruk jatuh, pelabur luar pun tak berapa masuk, kalau (isu) ini diperbesarkan lagi ia akan hakiskan keyakinan pelabur kepada negara kita, jadi kita tunggu Tun habiskan tempoh, sebab dia kata akan ikut perjanjian, jadi kita tunggulah, belum sampai masa lagi," katanya selepas program Ceramah Eksekutif sempena program Jelajah Dakwah Dr Zakir Naik Ke Kelantan 2019 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

 Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Bertindak Malaysia menggesa satu tarikh yang jelas ditetapkan untuk peralihan kuasa itu bagi mengelakkan pelbagai khabar angin daripada disebarkan.

 Hari ini, Pas melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang desakan terhadap Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.

 Dalam kenyataan itu juga, Takiyuddin menegaskan bahawa kesemua 18 orang Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

 Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, ia memang menjadi pendirian Pas sejak dahulu untuk tidak menyokong sebarang proses undi tidak percaya sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

 "Bagi kita proses peralihan itu mengikut proses yang biasa, iaitu melalui pilihan raya atau ada perkara-perkara berbangkit, macam di Perak baru-baru ini pun bila UMNO nak buat undi tidak percaya kita tak setuju.

 "Sebelum Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) hari itu pun bila ada undi tidak Percaya ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kita tidak setuju, pendirian kita konsisten," katanya. - UTUSAN ONLINE