Tinjauan ke atas kedua-dua portal e-dagang ini begitu mudah, tulis sahaja kata kekunci ‘vape’, beratus-ratus pilihan ditawarkan, sama ada daripada pengedar tempatan mahupun luar negara, kebanyakannya dari China.

Ketika ramai yang bersikap lebih kritikal untuk tidak membeli barangan elektronik secara dalam talian kerana tidak tahu tahap keselamatannya, vape yang juga sejenis produk elektronik seolah-olah tidak diragui sangat.

Seandainya penguatkuasaan undang-undang wujud di Malaysia bagi mengawal pengedaran vape, penjualan secara dalam talian ini memerlukan tindakan yang kawal selia, khususnya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM harus berperanan mengekang portal e-dagang seumpamanya daripada mempromosi dan berdagang produk yang tidak berlesen dan melanggar undang-undang negara kerana menjual bahan terlarang menerusi internet.