Belanjawan 2019 Melaka itu merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM382.23 juta dan perbelanjaan pelbagai pemberian sebanyak RM95.56 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM384.29 juta pada tahun depan.

Jumlah belanjawan yang disediakan pada tahun depan itu turut menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 2.76 peratus berbanding Belanjawan tahun lalu berjumlah RM373.95 juta.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, daripada perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM106 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap; perkhidmatan dan bekalan (RM161.68 juta) dan pembelian aset berjumlah RM3.2 juta.

"Ini merupakan belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bakal mencorakkan negeri Melaka ke arah Negeri Berwibawa selepas 61 tahun belanjawan dibentangkan oleh kerajaan terdahulu.

"Peruntukan pembangunan merupakan elemen penting dalam penyediaan belanjawan kerajaan negeri dan untuk itu, kerajaan negeri telah menyediakan belanjawan pembangunan sejumlah RM65 juta iaitu peningkatan RM5 juta berbanding tahun 2018 yang mengkhusus kepada pembangunan pendidikan sekolah agama, pembangunan infrastruktur dan mengatasi masalah banjir serta saliran negeri," katanya.

Adly berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2019 negeri Melaka yang bertemakan 'Mengembalikan Kewibawaan Melaka dan Mensejahterakan Rakyat' pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Pertama, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, ekonomi Melaka berada dalam keadaan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan 8.1 peratus iaitu kedua tertinggi selepas negeri Sabah.

Katanya, perkara ini merangsang peningkatan pendapatan perkapita iaitu RM46,015 berbanding RM41,379 bagi tahun 2016 dengan nilai pertumbuhan ekonomi sejumlah RM35.9 bilion. - UTUSAN ONLINE