Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif (Perspektif), Datuk Goh Hin San berkata, usaha tersebut dilihat sebagai satu beban khususnya buat kaum Cina dan India sekali gus menimbulkan syawasangka.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dilaksanakan berdasarkan kepada penerimaan secara terbuka dan bukan berunsurkan paksaan.

“Tulisan Jawi adalah khazanah warisan bahasa Melayu yang begitu indah dan tinggi nilainya, jadi untuk mempelajarinya kita perlu menghayatinya dengan secara sukarela dan hati terbuka.

“Oleh itu, kita tidak menentang tulisan Jawi yang merupakan warisan, malah minta semua kaum belajar warisan masing-masing. Tetapi kalau diwajibkan dengan Dasar Standard Kurikulum Pentafsiran (DSKP) ini akan jadi satu beban yang akan menimbulkan syawasangka,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2019 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka di sini semalam.

Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Dalam pada itu, Hin San menyarankan agar Kementerian Pendidikan memasukkan silibus mempelajari tuisan Jawi dalam dalam kokurikulum atau kelas seni yang menjadi pilihan kepada murid-murid.

“Kerajaan sepatutnya menggunakan cara halus dalam menggalakkan pelajar mempelajari tulisan Jawi yang bersifat kesenian menerusi kokurikulum yang lebih bersifat terbuka dan sukarela.

“Ini usaha dilihat lebih bermanfaat berbanding polimek yang menimbulkan syawasangka dengan memaksa kita belajar sehingga mengaitkan unsur-unsur agama.

“Kita tidak musnahkan tulisan Jawi, tetapi pertingkatkan khazanah warisan kita dalam peringkat yang lebih positif,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 95 peratus kaum Cina didapati tidak menentang tulisan Jawi sebaliknya mereka hanya membantah pelaksanaan pelaksanaan memperkenalkan tulisan khat dan Jawi di sekolah vernakular. - UTUSAN ONLINE