Wira negara, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah berkata, tokoh korporat berusia 83 tahun itu juga bersikap angkuh apabila menyarankan anggota tentera menggantikan pekerja buruh di ladang kelapa sawit.

Robert Rizal yang merupakan penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kerana menembak mati pengganas komunis semasa operasi di Sarawak pada tahun 1973 turut menyifatkan Yew Yin sebagai tidak sensitif.

“Kenyataan dia bersifat peribadi tetapi itulah gambaran sebenar dirinya yang tidak menghormati peranan pasukan keselamatan yang mengerah nyawa dan keringat.

"Daripada pengorbanan anggota tentera inilah orang seperti Yew Yin boleh berniaga dan membina kekayaan sehingga lupa diri,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rasa marah turut disuarakan Pengerusi Kelab Veteran 4 RAMD Gurkha Malaya, Ibrahim Ishak kerana kenyataan dangkal ahli perniagaan itu.

Tegasnya, Yew Yin sepatutnya merasai sendiri bagaimana tugas sebagai anggota tentera agar dia tahu apa yang mereka lalui demi memikul amanah negara.

“Dia cakap sesuka hati kerana tanpa sedar tindakan memperkecilkan tentera sama seperti memperlekehkan institusi Raja-raja Melayu.

“Kita tidak mahu dia meminta maaf, sebaliknya biar masyarakat menilai sikap sombong Yew Yin,” ujar Ibarhim.

Sementara itu, Pertubuhan Bekas Wataniah negeri Perak menganggap Yew Yin cetek ilmu pengetahuan kerana tidak tahu soal pengurusan negara dan juga ketenteraan.

Pengerusinya, Yahya Nordin berkata, anggota tentera bukan semata-mata ditugaskan semasa berperang tetapi juga ketika aman misalnya membantu agensi kerajaan lain atau tugasan kemanusiaan.

“Tentera bukan sebuah syarikat seperti yang dikendalikan oleh Yew Yin yang hanya memikirkan untung rugi semata-mata,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE