Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, telur, ikan, kelapa, sayur-sayuran dan buah-buahan sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata, bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga yang berpatutan, MOA akan menganjurkan jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara.

“Pelbagai bahan makanan akan dijual pada harga lebih murah daripada harga pasaran setempat.

“Selain itu, bekalan makanan juga boleh diperolehi melalui outlet pemasaran sedia ada di bawah MOA seperti pasar tani, MyFarm Outlet, Pasar Komuniti (PAKAR), Agrobazaar Rakyat, My Best Buy, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) dan pasar nelayan, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Salahuddin berkata, ketika ini, anggaran jumlah bekalan dan pengeluaran bahan-bahan utama makanan bagi tempoh sebulan adalah seperti berikut:

• Daging lembu dan kerbau (tempatan dan import) sebanyak 24,000 tan metrik.

• Ayam (tempatan) sebanyak 142,000 tan metrik.

• Telur ayam sebanyak 800,000,000 biji.

• Ikan (pelbagai spesies) sebanyak 20,000 tan metrik.

• Ikan Segar Beku QFish (pelbagai spesies) sebanyak 145 tan metrik.

• Kubis bulat sebanyak 9,200 tan metrik.

• Kelapa biji sebanyak 28,600,000 biji. - UTUSAN ONLINE