Dalam Operasi Papa dan Pengemis yang dijalankan itu, pihak JKM mendapati bayi berkenaan dipercayai digunakan oleh ibunya yang berusia 30-an untuk meraih simpati orang ramai bagi mendapatkan wang dengan mudah.

Malah, wanita itu juga mendakwa mempunyai suami yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu selain mempunyai tiga anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, JKM terpaksa mengambil bayi terbabit selepas ujian saringan awal air kencing mendapati ibunya positif dadah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, seramai 16 orang berjaya diselamatkan dalam operasi di 14 lokasi di sini dan Kubang Pasu.

Menurutnya, operasi tersebut berikutan maklumat yang diterima sebelum ini mendapati ada sindiket yang dipercayai mengeksploitasi anak yatim, bayi dan kanak-kanak selain OKU serta warga asing untuk mengemis.

“16 orang yang diselamatkan itu termasuklah kanak-kanak, warga emas, dua OKU dan tujuh lelaki dewasa serta seorang wanita,” katanya selepas mengikuti operasi terbabit yang bermula pukul 6 petang hingga tengah malam, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah JKM negeri, Azmi Abdul Karim.

Selain JKM, operasi turut disertai Jabatan Kesihatan, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Agama Negeri Kedah.

Tambah Halimaton Shaadiah, lima kes dihantar ke Rumah Seri Kenangan, Bedong untuk mendapatkan tindakan mahkamah, empat diserah kepada AADK, dua daripadanya dibebaskan dengan amaran, tiga kanak-kanak diserahkan kepada Pelindung Kanak-Kanak Kota Setar dan dua daripadanya diserahkan kepada pihak Imigresen.

“Dua lelaki warga asing dari Kemboja dan Thailand yang diselamatkan ketika mengemis di pasar malam berkemungkinan besar didalangi sindiket,” katanya. -UTUSAN ONLINE