Mereka yang terdiri daripada pesara, Diami Yusoff, 60; mekanik, Mohamad Zalani Zulkifli,64 dan usahawan, Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, mula memasuki India pada lewat petang Selasa lalu setelah lima hari berada di Myanmar.

Mohamad Fadhli berkata, pengalaman sepanjang berada di Myanmar sangat menyentuh hati kerana layanan baik penduduk di sana malah dia merasa ralat kerana terlupa memberikan cenderahati baju-T Gi Mekoh Nga Mutor kepada ejen yang mengiringi mereka.

"Ejen kami, Zawmin Tun dan pembantunya, Hyi, walaupun bukan beragama Islam tetapi sangat berakhlak dan bersungguh membantu kami, semasa saya tertinggal fail dokumen penting termasuk pasport di sebelah sempadan Myanmar di Tamu, Hyi sanggup menyelinap bawah pagar yang dikunci merentasi jambatan besi untuk menyerahkannya kembali pada saya melalui celah pintu pagar India.

"Sebelum masuk ke Myanmar kami memang rasa prejudis bila teringatkan layanan kerajaan mereka ke atas muslim Rohingya, ditambah pula persepsi kita sendiri kepada rakyat mereka yang menjadi buruh di negara kita, tetapi saya merasa terpegun bila penduduk di sini begitu menghormati orang asing, kalau singgah di kedai makan, pemiliknya melayan keperluan dengan sangat baik lebih daripada isteri melayan suami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fadhli berkata, mereka dijangka berada di India selama 20 hari dan memilih jalan melalui bahagian utara India yang juga merupakan kawasan pergunungan.

Beliau berkata, semasa bergerak dari Moreh ke Imphal sejauh 110 kilometer semalam, mereka dapat rasai sendiri keperitan menunggang dalam keadaan jalan yang teruk dan berlubang.

"Kami sengaja tidak mahu melalui selatan India kerana mahu mengelak kawasan yang berganda kali padat, sekarang musim sejuk, kami memakai pakaian dua, tiga lapis yang dibawa dari Malaysia untuk menahan kesejukan.

"Orang kata siapa yang pandai bawa kereta dan motosikal di jalan India adalah hebat macam ikan kelisa, kami perlu berhati-hati

melalui jalan berbukit yang sempit, terlalu banyak jalan rosak dan sedang dibaiki selain bedepan tanah runtuh," katanya.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan yang bertolak dari Kelantan pada 3 November lalu menggunakan motosikal di bawah 150 cc melalui perjalanan sejauh 14,000 kilometer dan dijangka memakan masa dua bulan sebelum mencapai sasaran menunaikan ibadat umrah awal tahun hadapan. UTUSAN ONLINE