Alasan paling klise dan acap kali diberikan peniaga adalah pembekal atau pemborong telah menaikkan harga bekalan, justeru tindakan yang sama perlu dilakukan terhadap pengguna untuk mendapat sedikit keuntungan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan harga barang keperluan akan berlarutan sampai bila-bila selagi pihak berkuasa tidak meneliti isu tersebut secara mendalam.

“Kerajaan kena menilai semula bakul pengguna atau Indeks Harga Pengguna (CPI), adakah ia bertepatan dengan senarai harga barang kawalan yang telah digunakan sejak 20 tahun lalu pada musim perayaan.

“Pengguna tidak mahu harga barang keperluan dikawal pada tempoh tertentu seperti perayaan sahaja, kerana pembelian untuk isi rumah berlaku setiap hari atau sekurang-kurangnya setiap minggu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam masa sama Jacob berkata, kerajaan perlu meneliti semula jumlah tanah pertanian di negara ini sama ada ia mencukupi untuk menampung bekalan sumber makanan kepada 32.8 juta rakyat.

“Berbeza dengan negara-negara jiran di rantau ASEAN yang memiliki tanah pertanian yang sangat besar dan ia tidak diusik oleh mana-mana pihak, sama ada daripada parti politik atau korporat walau apa pun yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman memberitahu, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa memandang serius rungutan peniaga yang mendakwa harga barang telah dinaikkan oleh pembekal dan pemborong.

Kata beliau, banyak persoalan yang timbul sama ada tindakan yang dikenakan pihak berkuasa selama ini hanya untuk peniaga manakala pemborong dan pembekal bebas memanipulasi harga barang terutamanya pada musim perayaan.

“Mungkin pembekal dan pemborong sudah tahu taktik pihak berkuasa yang akan meletakkan barang-barang itu di bawah harga kawalan. Jadi tindakan terhadap mereka perlu diambil supaya pengguna tidak ditekan dengan harga mahal seperti yang berlaku di beberapa pasar sekarang,” katanya.

Semalam, Ketua Seksyen Kawalan Harga dan Antipencatutan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna, Abd Hafidz Abd. Rahim berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kenaikan harga barang antaranya nilai mata wang negara yang lemah, pengeluaran beberapa barangan seperti cili merah tidak mencukupi dan kekurangan hasil tangkapan nelayan. - UTUSAN ONLINE