Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, dianggarkan seramai 3,412 pekebun kecil yang menanam kelapa sawit di kawasan yang salah melibatkan keluasan tanah kira-kira 5,000 hektar.

Katanya, antara kekangan tidak melayakkan pekebun kecil daripada mendapat pensijilan itu adalah kerana gagal mematuhi undang-undang ditetapkan dengan menanam sawit di tanah yang tidak sepatutnya.

“Sebab itu kami mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagi membincangkan perkara ini dan memohon kerjasama kerajaan negeri membantu khususnya kepada pekebun kecil yang melakukan kesalahan berkenaan.

“Jadi, kita minta kerajaan negeri untuk mengubah syarat kegunaaan tanah bagi pekebun kecil untuk membolehkan mereka memperoleh sijil itu. Menteri Besar memandang serius perkara itu dan berjanji membantu tukar syarat tanah berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri Dialog Bersama Pemilik dan Pengurusan Kilang Kelapa Sawit Negeri Johor di sini hari ini.

Kok berkata, setakat 30 Jun lalu, daripada kira-kira 764,000 hektar kawasan tanaman sawit yang diusahakan di negeri ini, hanya 34.2 peratus daripadanya sudah mendapat sijil berkenaan. - UTUSAN ONLINE