Perkara ini jelas dinyatakan dalam Seksyen 10 akta tersebut yang digubal bagi memenuhi maksud Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menabalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Setakat semakan yang dibuat, tiada pindaan kepada seksyen tersebut.

Bagaimana pula dengan tulisan bagi bahasa kebangsaan? Ini pun disebut dalam Akta Bahasa Kebangsaan iaitu menerusi Seksyen 9:

“Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”

Dua seksyen itu dirujuk berikutan sehari dua ini agak riuh mengenai cadangan pengajaran tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu yang dibantah parti politik dan kumpulan pendidikan tertentu.

Entah mengapa mereka mahu membantah dengan keras sekali sedangkan cadangan tersebut selari dengan Akta Bahasa Kebangsaan. Ini bukan soal agama tetapi mengenai bahasa kebangsaan. Faham isu ini betul-betul.

Lihat media sosial bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang cukup sinonim dengan tulisan Jawi sejak sekian lama. Beliau bekas Naib Pengerusi DAP tapi ada orang Melayu sendiri ‘asing’ dengan tulisan asal bahasa nenek moyang mereka yang kemudian diangkat bahasa kebangsaan untuk semua rakyat.

Namun kalau ‘parti itu dan kumpulan itu’ hendak bantah juga cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan pengajaran khat, bantahlah. Apa boleh buat. Bukan pelik. Perkara 152 sendiri dah lama sekadar hiasan dalam buku Perlembagaan bagi sebahagian rakyat Malaysia. -UTUSAN ONLINE