Panglimanya, Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata, cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sentiasa memantau situasi semasa di kawasan-kawasan yang berisiko mengalami banjir serta meletakkan beberapa aset berhampiran lokasi berkenaan.

Katanya, TUDM memberi fokus membantu pusat-pusat penempatan banjir selain hanya akan mula menjalankan misi menyelamat apabila jalan darat tertutup sepenuhnya.

“Kita memberi fokus kepada bantuan aset termasuk tiga helikopter model Eurocopter EC725, sebuah helikopter Sikorsky S-61A-4 atau dikenali sebagai Nuri dan pesawat Hercules C-130 di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Kesiapsiagaan TUDM di peringkat tertinggi untuk banjir kali ini dengan aset-aset telah pun bersedia di beberapa lokasi utama seperti di Kota Bharu, Kuantan dan Butterworth. Jika situasi bertambah buruk, kita akan menambah bilangan aset yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2015 di Pangkalan Udara TUDM Subang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Affendi Buang; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Mutalib Ab. Wahab.

Dalam pada itu, Roslan memaklumkan, TUDM akan mengambil pendekatan sewaan helikopter model Eurocopter EC120 menggantikan helikopter Alouette III bagi tujuan latihan asas penerbangan kepada juruterbang baharu.

Menurut beliau, langkah itu dilihat lebih efektif kerana bukan sahaja mengekalkan kos sedia ada malah dapat mengurangkan beban penyelenggaraan pesawat yang ditanggung TUDM ketika ini.