Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini, kementerian belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pengurusan sekolah berhubung isu tersebut.

“Sehingga petang ini, tidak ada sekolah menengah terjejas akibat banjir, yang diterima hanyalah beberapa sekolah rendah yang terlibat.

“Namun, ini tidak menjadi masalah memandangkan musim cuti sekolah telah bermula,” kata­nya selepas merasmikan Majlis Ekspo Buku Malaysia, di sini hari ini.

Ekspo bermula hari ini sehingga Ahad ini disertai oleh 50 syarikat penerbit dan pengedar buku dari dalam dan luar negara seperti China, Brunei dan Indonesia.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kementerian juga menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan banjir di sekolah-sekolah dari semasa ke semasa.

Katanya, persiapan rapi itu dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat bencana alam itu dan mengelakkan proses perjalanan peperiksaan terganggu.

Menurut beliau, pihaknya akan membuat pemantauan di setiap pusat peperiksaan iaitu sekolah menengah menerusi Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

“Malah, kami juga sudah ada pelan A dan B, jadi sekiranya berlaku banjir di sekolah-sekolah menengah yang menjadi pusat peperiksaan, kita akan bertindak segera. Kita tahu apa perlu dibuat berdasarkan pengalaman lepas.

“Selain itu, guru juga diarahkan untuk melaporkan kepada kementerian secepat mungkin sekiranya sekolah mereka berkhidmat terjejas dengan banjir,” katanya.