Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam,

Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, kejadian terbaru iaitu pada petang kelmarin yang disebabkan air laut pasang.

Menurutnya, akibatnya beberapa kawasan di pekan tersebut dinaiki air sehingga hampir setengah meter dan menjejaskan para peniaga.

Katanya, sebanyak 15 sehingga 20 peniaga dan peniaga pasar malam terjejas akibat banjir kilat tersebut.

"Selain air pasang, banjir juga disebabkan pintu kunci air yang tidak berfungsi dengan baik.

"Ia disebabkan timpunan sampah di depan gigi kunci pintu air semasa air laut pasang. Kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan yang terjejas akibat banjir kilat di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Kerian (MDK), Norhafizah Shamsuddin.

Menurut Abdul Yunus, sampah sarap yang dibuang dalam longkang juga menyebabkan aliran terjejas.

Katanya, sehubungan itu masyarakat perlu mengubah sikap dengan menjaga kebersihan persekitaran terutama longkang.

"Masalah ini bukan perkara baharu. Kerajaan negeri akan meneliti kaedah yang terbaik untuk mengatasi banjir kilat di sini," katanya. - UTUSAN ONLINE