Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, cadangan itu berikutan kejadian terbaharu di mana seorang remaja membunuh diri selepas mendapat undian dalam talian yang menggalakkan perbuatan tersebut.

Katanya, ini secara tidak langsung menunjukkan betapa rendahnya tahap kesedaran kesihatan mental di negara ini selain menunjukkan pengaruh negatif dan kesan media sosial dalam kalangan golongan muda.

Dalam kejadian terbaharu itu, menurut Lam Thye, tindakan membunuh diri berlaku kira-kira lima jam selepas mangsa menaikkan status undian,

namun, tiada sistem amaran untuk mencegahnya daripada berlaku.

"Bagi golongan muda, fikiran yang kurang matang boleh menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh kandungan internet termasuk permainan dalam talian dan media sosial.

"Mereka yang mempunyai masalah emosi lebih mudah terpengaruh dan amat penting untuk mengenal pasti dan membantu mereka di peringkat awal dan merujuk mereka kepada doktor atau kaunselor terlatih jika masalah mereka sukar diselesaikan atau berpanjangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai terjun dari tingkat tiga rumah kedai di Padawan, Sarawak dipercayai mengalami masalah emosi dan keluarga.

Mangsa didakwa membuat keputusan tersebut selepas 69 peratus rakannya dalam laman Instagram menyokong keputusannya untuk membunuh diri melalui undian yang dimuat naik pada waktu petang hari yang sama.

Remaja itu dilaporkan mencatatkan tajuk utama 'sangat penting, bantu saya pilih D atau L (mati atau hidup)' dalam undian tersebut.

Tambah Lam Thye, kerajaan perlu mengambil pendekatan kesihatan awam secara holistik bagi menangani faktor penyumbang sosial dan psikososial yang menyebabkan masalah kesihatan mental.

Katanya, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan juga harus bekerjasama untuk membantu menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia.

"Kita perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah bunuh diri kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan setiap tahun, kira-kira sejuta orang mati akibat bunuh diri dan menjelang 2020, kadar kematian akan meningkat kepada seorang setiap 20 saat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE