Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu telah dibawa ke Kabinet dua bulan lalu bagi membolehkan klausa berkenaan dipinda, sekali gus membolehkan bangunan kerajaan memiliki FC.

“Dalam Perlembagaan negara, ada satu klausa memberikan kekebalan kepada bangunan kerajaan yang tidak perlu tertakluk kepada undang-undang kebombaan.

“Saya sudah bawa ke Kabinet dan bersetuju (untuk dipinda) kerana saya juga terkejut, sepatutnya bangunan kerajaan perlu ada FC, jadi perkara ini kita mahu pinda supaya FC dapat disatukan dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan 300 unit rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Raudhahville di sini hari ini.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid memaklumkan, 140 bangunan kerajaan di seluruh negara masih belum memiliki FC, dengan 39 daripadanya adalah di Putrajaya.

Mohammad Hamdan berkata, kesemua bangunan tersebut dikategorikan sebagai bangunan ditetapkan (designated building) yang perlu memiliki FC, iaitu elemen penting bagi memastikan premis berkeadaan baik dalam pelbagai aspek keselamatan serta selamat diduduki.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, kementeriannya telah mengadakan mesyuarat penyelarasan melibatkan pengurusan semua bangunan kerajaan yang tiada FC bagi memberi taklimat proses terlibat.

“Langkah selanjutnya sedang dirangka untuk membolehkan FC dikeluarkan kepada bangunan kerajaan.

“Kita cuma mahu perkemas undang-undang sedia ada supaya ia boleh diselaraskan de­ngan CCC, jadi tidak perlu mohon dua jenis sijil untuk bangunan sama,” jelasnya.

Sementara itu, PKNS Rau­dhahville yang terletak di Sela­ngor Cyber Valley, Cyberjaya, menawarkan rumah mewah dengan harga bermula dari RM1.15 juta hingga RM2.1 juta.