"Setiap kali perayaan, saya hanya dapat berjumpa dengan mereka tetapi tidak dapat nak peluk, jadi memang teringin betul. Umur pun semakin meningkat, takkan saya hendak teruskan dengan perbuatan masa jahil saya, jadi mesti ada satu perubahan."

Itulah luahan salah seorang daripada empat banduan Penjara Tapah yang mendapat pelepasan berlesen selama tujuh hari bermula hari ini bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Anuar, 31, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan jenayah samun di bawah Seksyen 394 dan 395/397 Kanun Keseksaaan.

Dia yang dimasukkan ke penjara ketika berusia 25 tahun bagaimanapun bersyukur kerana kehidupan dalam tirai besi itu banyak mendidiknya menjadi seorang manusia selain berfikir untuk merancang perjalanan hidup.

"Saya cakap terus-terang. Saya tak pandai mengaji, tak pandai apa-apa tetapi bila duduk dalam bahagian pemulihan serta program halaqah yang penjara sediakan, saya boleh mengaji, boleh kenal alif ba ta dan boleh sembahyang.

"Itu salah satu perkara yang saya rasa beruntung hidup dalam penjara. Selama enam tahun, saya juga belajar di bengkel jahit (dalam penjara) dan daripada tidak tahu apa-apa, sekarang alhamdulillah boleh memotong kain serta menjahit," katanya.

Anuar berkata demikian ditemui selepas dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di hadapan Pengarah Penjara Tapah, Kamarudzaman Mamat di sini hari ini.

Sementara itu, kakak sulung Anuar, 48, melahirkan rasa terlalu gembira sehingga mengalirkan air mata kerana itulah saat yang dinanti-nantikannya sejak sekian lama.

"Kami ada 11 adik-beradik dan mak ayah sudah tiada lagi dan dia anak yang kesembilan. Amanah mak ayah kepada saya sebagai anak paling tua ialah jaga adik-beradik saya.

"Jadi, tiap-tiap bulan kami adik-beradik berjumpanya, kami akan bagi kata-kata semangat kerana kita kena beri dia peluang walaupun dia telah melakukan kesilapan. Balik ini juga, kami sudah siap sedia dengan hidangan sambal udang kegemarannya," katanya.

Sementara itu, Kamarudzaman berkata, pelepasan di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995 itu merupakan keistimewaan diberikan kepada banduan yang layak dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Beliau berkata, antara syarat tersebut ialah seseorang banduan itu telah menjalani hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada empat tahun serta mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun dan tidak kurang daripada dua bulan. - UTUSAN ONLINE