Hal demikian bagi mengelakkan masalah urusan kemasukan ke Arab Saudi menghadapi masalah sehingga memaksa jemaah terpaksa membatalkan niat untuk menunaikan haji.

Menurut Pengurus Operasi Wira Saujana Travels & Tours Sdn. Bhd. Syamsuhathliza Shamsudin, penggunaan visa furada yang dikeluarkan terus oleh pihak kedutaan Arab Saudi kepada agensi pengurusan haji menyebabkan masalah pengesahan visa timbul.

"Jemaah haji yang pergi menunaikan haji tidak melalui kuota Tabung Haji lazimnya menggunakan visa furada untuk ke Tanah Suci tanpa menunggu giliran.

"Bagaimanapun, terdapat agensi pengurusan haji yang tidak bertanggungjawab mungkin telah membawa jemaah melebihi kuota visa yang dibenarkan oleh pihak kedutaan Arab Saudi.

"Hal demikian menyebabkan masalah seperti visa tidak sah dan tidak boleh digunakan sekali gus memaksa jemaah untuk pulang semula ke tanah air," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas masalah yang dihadapi 26 bakal haji Malaysia yang ditahan di Jeddah akibat memiliki visa haji tidak sah.

Tambah Syamsuhathliza, kerajaan Malaysia disarankan supaya meminta wakil agensi mengumpulkan maklumat visa jemaah haji untuk disemak terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka berlepas ke Tanah Suci.

Sementara itu, menurut pegawai di Felda Travel Sdn. Bhd., Mohd. Mukhalis, tidak mustahil wujud 'orang tengah' mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan dengan munggunakan visa furada untuk membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.

"Tidak mustahil wujud individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai ejen kepada kedutaan Arab Saudi menawarkan visa kepada jemaah haji tanpa menunggu giliran kuota.

"Oleh demikian, terdapat aktiviti penyalahgunaan permohonan visa seperti pemalsuan identiti sehingga menyebabkan jemaah haji ditahan akibat visa haji yang tidak sah," jelasnya. - UTUSAN ONLINE