Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perhatian yang diberikan kepada golongan wanita membuktikan kerajaan jelas memahami kehendak rakyat dan pada masa sama mahu mengekalkan daya saing Malaysia dalam bidang pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Dengan mengumumkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita, terbukti Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang teguh dengan komitmen untuk menyediakan ekosistem kehidupan dan pekerjaan yang mesra serta ideal untuk semua wanita Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, Najib turut mengumumkan syarat sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keahlian lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) serta badan berkanun, sebelum akhir tahun 2018.

Perdana Menteri juga mencadangkan tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari seperti yang telah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, peluang ekonomi kini tersedia untuk wanita memacu usaha meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Tambahnya, beliau yang juga Pengerusi Akademi Inovasi Wanita (MyWIN Academy) mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk program latihan dan keusahawanan antara­nya PEAK Entrepreneur Programme di bawah MyWIN Academy.

“Inisiatif ini pastinya akan membakar semangat MyWIN Academy menjadi sebuah akademi unggul dalam memperkasa pemimpin usahawan wanita bagi menjana nilai ekonomi dan sosial negara berlandaskan inovasi.

“Saya ingin merakamkan ucapan syabas kepada Perdana Menteri atas pembentangan Bajet 2018 yang mengambil kira kepentingan setiap lapisan rak­yat Malaysia serta membahagi manfaat ekonomi dengan lebih efisien,” katanya.