Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan bajet itu berkata, pada masa sama kerajaan negeri turut menjangkakan memperoleh hasil RM2.015 bilion sekali gus menjadikan Bajet 2019 sebagai bajet berimbang.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah itu, sebanyak RM66.93 juta adalah hasil cukai manakala RM203.53 juta (hasil bukan cukai) dan RM1.745 bilion (terimaan bukan hasil).

"Dari segi perinciannya, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan RM2.015 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan daripada jumlah itu, RM600 juta akan dicarum kepada Kumpulan Wang Pembangunan untuk perbelanjaan pembangunan.

"Ia termasuklah RM186.2 juta bagi projek bayaran tertangguh dan bayaran berjadual. Kerajaan  negeri juga peruntukkan RM1.8 juta kepada Kumpulan Wang Bekalan Air," katanya.

Dr. Ahmad Samsuri menyatakan perkara itu semasa membentangkan Bajet 2019 pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di sini hari ini.

Pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan Pas itu merupakan kali pertama sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar mengulas lanjut, bagi perbelanjaan mengurus, sebanyak RM86.025 juta atau 4.2 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan manakala RM1.929 bilion atau 95.73 peratus bagi perbelanjaan bekalan.

Jelasnya, di bawah peruntukan perbelanjaan bekalan pula, sebanyak RM285.47 juta diperuntukkan untuk emolumen diikuti RM197.1 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM24.98 juta (aset), RM1.42 bilion (Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap) dan RM1.16 juta untuk lain-lain.

"Bajet Terengganu 2019 dicadangkan dengan tema Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera. 

Perencanaan bajet didokong empat teras utama yagn menjadi tonggak kepada Bajet 2019 iaitu Teras Pertama : Keberkatan, Teras Kedua (Kemajuan), Teras Ketiga (Kebajikan) dan Teras Keempat (Kecekapan)," ujarnya. - UTUSAN ONLINE