Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, bajet yang diumumkan itu jelas memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk di Iskandar Malaysia.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pengumuman Bajet 2018 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan memakmurkan ekonomi yang inklusif.

"Kami juga menghargai peruntukan RM1 bilion untuk lima koridor ekonomi yang akan merancakkan lagi pelaburan, perdagangan dan industri," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Di samping itu, tambahnya, penyediakan infrastruktur pengangkutan awam seperti Iskandar Malaysia Bas Rapid Transit (IMBRT) dan Rapid Transit System (RTS) di wilayah itu adalah sejajar dengan fokus kerajaan untuk menyediakan perhubungan dan sistem kesalinghubungan yang lebih cepat dan selamat seperti High Speed Rail (HSR), MRT dan LRT.

Beliau berkata, kemudahan tersebut sudah tentu mampu meningkatkan lagi nilai pelaburan di Iskandar Malaysia sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

"Projek IMBRT adalah kritikal untuk Iskandar Malaysia kerana ia bukan sahaja mampu menangani masalah kesesakan jalan raya, malah akan memberikan kesalinghubungan yang baik kepada pengguna di dalam dan luar wilayah itu," katanya. - UTUSAN ONLINE