Menurut laman web Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU setakat pukul 10 pagi ini di Nilai merekodkan IPU 155 berbanding 152 pada Selasa, Seremban 129 (121 pada Selasa) manakala Port Dickson 113 (105 pada Selasa).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu, tinjauan di sekitar Nilai yang juga merupakan daerah dengan bacaab IPU tertinggi setakat ini mendapati aktiviti harian termasuk aktiviti riadah diteruskan seperti biasa.

Zulkafli Mohd. Ishak, 45, berkata, keadaan jerebu yang berlaku setiap tahun membuatkan orang ramai seakan sudah terbiasa dengan cuaca seperti ini dan tidak mungkin akan menjejaskan aktviti harian kecuali apabila kualiti udara merekodkan bacaan yang berbahaya.

“Jerebu ini boleh dikatakan setiap tahun pun berlaku sampai orang ramai pun rasanya sudah terbiasa yang mana dalam setiap tahun pasti ada masa-masa tertentu kualiti udara akan menurun.

“Macam saya rutin harian masih dijalankan seperti biasa cuma anak-anak saya kurangkan bawa keluar berjalan sebab nanti takut kesihatan terjejas, bila tidak sihat sekolah pun tidak dapat pergi... saya memang elakkan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Fatimah Abd Kadir, 38, berkata, setiap kali cuaca jerebu berlaku, beliau akan memastikan anak-anaknya termasuk dirinya sendiri menghadkan aktiviti di luar rumah.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S.Veerapan dalam kenyataan berkata Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dalam menangani IPU tidak sihat di negeri ini.

Veerapan berkata, pemantauan dan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka turut ditingkatkan melalui darat dan menggunakan dron. - BERNAMA