Mohamed Azmin berkata, beliau mengambil maklum pendirian Anwar yang menerima hasil siasatan diumumkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa dirinya tidak terlibat dalam video seks yang tular baru-baru ini.

"Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terlibat dalam sebaran video ini.

"Ini selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis habisan," katanya dalam status dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dalam kenyataan menyambut baik kenyataan Abdul Hamid berhubung klip video seks sejenis yang tular baru-baru ini tidak melibatkan Timbalan Presidennya.

Anwar berkata, PKR mengulangi prinsip bahawa parti itu menolak politik jijik sekeras-kerasnya. - UTUSAN ONLINE