Sehubungan itu, ATM turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM56,047 kepada bapa Mohd. Afif Irfan iaitu Pegawai Waran 2, Abdullah Yaakub.

Bagaimanapun, kos pembedahan keseluruhan Mohd. Afif Irfan berjumlah RM160,000 dan perlu dilakukan di Max Super Specialty Hospital, Saket, New Delhi, India.

Mohd. Afif Irfan dan keluarga akan ke New Delhi pada 24 Julai ini.

Sumbangan dari ATM itu disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin bersama-sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi kepada bapa Mohd. Afif Irfan sendiri hari ini.

Mohd. Afif Irfan merupakan anak kedua Abdullah yang bertugas di 74 Workshop Divisyen berpangkalan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Anak beliau yang menghidap penyakit hati kronik telah menerima rawatan awal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan dan telah dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

Melalui pemeriksaan lanjut, pihak PPUM mengesahkan bahawa adik Mohd Afif Irfan mengalami beberapa komplikasi organ hati yang memerlukan pembedahan segera di luar negara yang melibatkan kos pembedahan berjumlah RM160,000.

Bahagian Hal Ehwal Awam ATM dalam kenyataan memberitahu, sumbangan yang diberikan merupakan hasil usaha murni serta kesungguhan organisasi ATM sendiri dan warganya dalam meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan.

Kata kenyataan itu, terdapat juga sumbangan yang telah diterima dari pelbagai pertubuhan dan orang awam yang prihatin membantu kanak-kanak malang ini. - UTUSAN ONLINE