Pengurus Kanan Penasihat fintech, Ernst & Young Advisory Services Sdn. Bhd., Gopal Kiran berkata, banyak syarikat pemula niaga unicorn berkembang khususnya dari Amerika Syarikat, namun agak perlahan di Asia Tenggara.

“Bagaimanapun, saya percaya sentimen itu akan bertambah baik. Kita mempunyai peralatan dan aset sesuai. Sehubungan itu, saya percaya kita akan berjaya mencapai hasrat itu,” katanya kepada Bernama di luar persidangan dua hari yang bermula semalam.

Gopal berkata, adalah perlu untuk memberi sokongan dari segi dasar, modal dan pelaburan bagi memastikan perniagaan berkembang di rantau itu.

Unicorn ialah syarikat pemula niaga yang mencapai nilai pasaran AS$1 bilion dolar seperti yang ditentukan pelaburan swasta dan awam.

Antara syarikat pemula niaga unicorn di rantau ini ialah GoJek dan Tokopedia dari Indonesia, Lazada dari Malaysia, Grab dari Singapura, VNG Corporation dari Vietnam dan Revolution Precrafted dari Filipina.

Selain unicorn, terdapat syarikat pemula niaga zebra yang mana syarikat itu bekerjasama, meningkatkan lebih ramai rakan kongsi dan mewujudkan ekosistem dengan mencapai mencapai tahap penilaian unicorn (AS$1 billion) secara kolektif.

Penulis buku terlaris New York Times dan usahawan sosial, Roger James Hamilton pula menekankan kepentingan menggalakkan pertumbuhan syarikat pemula niaga zebra.

“Syarikat zebra mempunyai ciri-ciri perniagaan sebenar dan tidak mengganggu pasaran semasa. Mereka meraih keuntungan dan membantu menyelesaikan masalah sosial,” katanya semasa pembentangan selama 15 minit.

Pengasas bersama dan rakan kongsi pengurusan Asia Partners, Nick Nash berkata sehingga kini, negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan telah memasuki zon unicorn, manakala China, Asia Tenggara dan India masih menunggu giliran untuk menyertai negara-negara tersebut.

Bertemakan “Mengetengahkan idea berbilion dolar Asia Tenggara,” Persidangan Wild Digital SEA kelima itu dihadiri lebih 1,000 penggiat Internet, usahawan, pengasas, ketua eksekutif dan pelabur bagi mendapatkan pandangan mengenai teknologi dan kreativiti digital pada masa depan. - BERNAMA