Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai sebuah negara maritim, Malaysia perlu mempunyai aset-aset tertentu baik di lautan mahupun udara agar dapat menjamin keselamatan dan kepentingan negara di kawasan-kawasan tersebut.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat ke bahagian maritim Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2019 di Awana Porto Malai petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah disambut oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany dan Timbalan beliau Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Titah baginda, kawasan maritim negara mempunyai impak khusus dari aspek strategik keselamatan dan juga dark sudut ekonomi.

Sebagai contoh, kawasan perairannya terutamanya di Laut China Selatan mempunyai hasil semulajadi yang terdiri daripada jutaan tan metrik minyak mentah, gas serta hidrokarbon dan lain-lain bahan carian serta galian.

“Kesemua hasil ini mempunyai nilai wang ringgit yang sangat lumayan yang mana turut dijadikan sebagai daya tarikan kepada negara-negara yang ada kepentingan terhadap lautan ini,” titah baginda.

Baginda turut berkenan menyaksikan persembahan kawad senyap TLDM dan juga seni mempertahankan diri oleh pihak pasukan khas Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) serta demonstrasi ‘Interagency Maritime Operations’.

Malaysia adalah sebuah negara maritim yang mempunyai kawasan perairan yakni lautan yang begitu luas dan ruang udara yang meliputi dua teater iaitu Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. - UTUSAN ONLINE