Artifak itu diserahkan oleh wakil Kedutaan British, Pegawai Waran 2 Neil Anderson kepada Pengarah Muzium Tentera Darat, Leftenan Kolonel Abdul Rahman Mohamad dalam majlis ringkas di sini hari ini yang turut disaksikan oleh Pengarah Wilayah Maritim Timur, Laksamana Pertama Datuk Mamu Syed Alee.

Kedua-dua kapal itu yang teng­ggelam kira-kira 60 batu nautika dari perairan Tajung Gelam, Kuantan bersama 1,167 orang anak kapal, sering menjadi sasaran pencuri terutama warga asing yang berusaha melakukan selaman untuk membawa keluar peralatan logam.

Katanya, kapal-kapal itu yang menyimpan khazanah sejarah pe­perangan dalam hubungan dua negara turut menjadi simbol keamanan sejagat dan kenangan itu wajar diabadikan.

“Sejumlah 513 anak kapal HMS Repulse dan 327 anak kapal Prince Of Wales terkorban. Pengorbanan mereka selaku anggota tentera dalam mengembalikan keamanan tidak harus dilupakan,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mengurangkan pencerobohan dan kecurian daripada kapal perang tersebut telah menampakkan hasil.

Katanya, pemantauan lebih ke­rap telah dilakukan dalam melin­dungi harta peninggalan perang daripada jatuh kepada tangan orang lain yang mencari keuntungan dan beberapa tangkapan telah dibuat.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, artifak berkenaan akan dipamerkan kepada umum dalam tempoh beberapa bulan lagi dan sebahagian akan diserahkan kepada pihak Muzium Negara bagi tujuan yang sama.

Tambahnya, serahan yang diteri­ma hari ini juga satu penghargaan dalam usaha menambah koleksi bahan bersejarah yang mempunyai kaitan langsung negara ini dalam Perang Dunia Kedua.

Pada 25 Ogos tahun lalu, media melaporkan Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot Vietnam pada jarak 66.9 batu nautika dari utara Tanjung Gelang, Kuantan kerana dipercayai mencuri artifak kapal perang tersebut.

Hasil siasatan lanjut ke atas bot tersebut, Maritim Malaysia mene­mui kira-kira 15 tan metrik sisa kapal perang British yang dianggarkan bernilai setengah juta ringgit.

Siasatan lanjut juga mendapati semua kru bot tersebut mengaku sedang menjalankan kerja-kerja menaikkan sisa bangkai kapal tersebut dan tekong bot tersebut telah didenda RM 100,000 atau empat bulan penjara.