Memetik laporan Arab News, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammed Salih Bentin berkata, keputusan itu juga menunjukkan kehebatan pemimpin negara itu dalam membuat keputusan dan bersedia menerima peningkatan bilangan jemaah haji serta umrah pada masa akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, Mohammed Salman dengan keputusan tersebut.

“Keputusan kerajaan menunjukkan sikap kepemimpinan dalam usaha memudahkan kedatangan umat Islam dari seluruh dunia bagi melaksanakan haji dan umrah.

“Saya menyokong usaha untuk mencapai salah satu objektif terpenting dalam rancangan pembaharuan visi 2030, iaitu menerima 30 juta jemaah umrah pada tahun berkenaan dan memberikan mereka perkhidmatan hebat agar mereka boleh melakukan ibadat dalam keselesaan serta ketenangan,” katanya di sini hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memperkenalkan skim baharu bagi kemasukan tunggal ke negara itu adalah 2,000 riyal (RM2,250).

Bagaimanapun, pengunjung yang kali pertama memasuki Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj berkenaan.-UTUSAN ONLINE