Kita tidak tahu apa alasan kementerian tetapi apapun ia tidak boleh diterima. Ia bukan soal kontrak atau tidak tetapi soal kedaulatan bahasa Melayu.

Apa sebenarnya agenda Kementerian Kesihatan yang dipim­pin oleh Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam dalam soal ini?

Penulis tidak mahu mengaitkannya dengan soal politik, walaupun sudah ada hujah-hujah yang menjurus ke arah itu, apa  yang kita mahu tahu kenapa kementerian bertindak demikian? Siapa sebenarnya yang kementerian mahu tolong?

Apa masalahnya dengan syarat sedia ada yang menetapkan mereka hanya  perlu lulus Bahasa Melayu peringkat SPM bukan kepujian pun?

Tidak kira siapapun dan di manapun mereka belajar di pe­ringkat universiti, selagi mereka rakyat Malaysia mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan. Kementerian Kesihatan tidak boleh memandai-mandai dalam soal ini.

Tiada  gunanya begitu ‘gah’ mendapat ijazah kedoktoran dari luar negara tetapi dalam negara Bahasa Melayu peringkat SPM pun tidak lulus.

Malah alasan kementerian bahawa ia hanya untuk peringkat kontrak juga tidak boleh diterima kerana bak kata seorang pegawai perubatan kepada penulis, “mereka nak buat housemanship di Malaysia bukan luar negara, jadi kena hormat syarat sedia ada.”

Oleh itu Kabinet perlu campur tangan dalam soal ini dan tidak membolehkan Kementerian Kesihatan melakukan apa yang mereka suka sehingga boleh menjejaskan martabat bahasa Melayu.

Sudah cukup selama ini bahasa Melayu bagaikan ‘dihina’  dan tidak dihormati akibat kegagalan  pihak-pihak yang diberi tanggungjawab menjalankan tanggungjawab mereka. Jangan biarkan ‘penghinaan’ itu berterusan.

Dalam keputusan Kementerian Kesihatan itu,  ramai yang tahu golongan pelajar mana yang akan untung dan universiti mana yang mereka belajar, tetapi janganlah kerana mahu mendapat soko­ngan besar sesetengah kaum, bahasa Melayu mahu ‘dikorbankan’.

Kalau kementerian tidak ada apa-apa agenda, maka tarik semula keputusan yang dibuat atau ada orang Melayu yang menarik sokongan mereka kepada kerajaan atas alasan kerajaan tidak mahu melindungi bahasa Melayu? Sanggupkah?