Meskipun mengakui dirinya pernah dicederakan sewaktu dalam tahanan, Anwar menganggap nasib dialami Mandela lebih buruk yang meringkuk selama 27 tahun dalam penjara kerana menentang dasar aparteid iaitu undang-undang membezakan antara masyarakat kulit putih dan hitam di Afrika Selatan dari tahun 1948 hingga 1991.

“Beliau adalah tokoh terbilang yang bukan sahaja di Afrika, tetapi meninggalkan kesan kepada seluruh dunia.

“Kita melihat dia sebagai apa? Dari segi tadbir urus, tentang bertimbang rasa dan tentang sikap memaafkan,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Mandela di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Hari Mandela disambut pada setiap 18 Julai sempena tarikh lahirnya pada tahun 18 Julai 1918 sebagai mengenangkan perjuangan dan jasanya menentang dasar penjajah Barat.

Nasib Anwar sebagai bekas banduan sebelum ini cuba disamakan dengan sejarah Mandela yang menjadi Presiden Afrika Selatan pertama daripada kaum kulit hitam dari tahun 1994 hingga tahun 1999, namun dikritik banyak pihak kerana kedua-dua mereka dipenjarakan atas dua sebab berbeza.

Dalam program itu juga, Anwar turut mengimbau kenangannya bertemu dengan Mandela selepas kali pertama keluar daripada penjara pada tahun 2004.

Katanya selepas dibebaskan, beliau bersama keluarga dijemput Mandela ke Afrika Selatan dan pemimpin tersebut sedih mengenangkan nasib Anwar sekeluarga.

“Sebaliknya saya memberitahu Mandela supaya bertenang, kerana tempoh (perjuangan) saya tidak dapat menandingi beliau,” kata Anwar.-UTUSAN ONLINE