Jika disandarkan kepada rasional kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan jika didapati video seks sejenis yang dikaitkan dengan beliau disahkan ketulenannya oleh pihak berkuasa, maka Anwar Ibrahim juga patut mengambil tanggungjawab yang sama.

Ini kerana bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga pada tahun 2011 telah mengeluarkan kenyataan ketika itu mengatakan hasil siasatan forensik video ‘China doll’ berkenaan dengan adegan seks yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim juga adalah tulen.

Kenyataan ini hampir serupa dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini yang mengesahkan ketulenan video yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hakikatnya lebih 20 tahun politik tanah air diwarnai dengan ‘skandal politik yang jijik’ lantaran ‘perbalahan dan perebutan kerusi Perdana Menteri’ yang semacam tiada kesudahan, sedangkan ‘rakyat berterusan sengsara’ dek kerana ekonomi negara yang makin menghimpit.

Maka Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyarankan dan mendesak agar kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan skandal memalukan negara agar melepaskan jawatan dan bersara daripada politik!

Buat pimpinan Pakatan Harapan, Pemuda ingin ingatkan bahawa rakyat sudah memilih kamu untuk membela nasib mereka bukannya berebut jawatan dan ‘harta rampasan lepas perang’ yang tiada penghujungnya sejak PRU-14 lalu.

Jika tidak mampu menguruskan negara, ‘bubarkan sahaja Parlimen’ dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih teraju kepemimpinan yang baharu!’

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.