Paling menarik perhatian ialah cadangan Naib Presi­dennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam ucapan penangguhannya, agar ketua bahagian dan ketua cawangan parti diberi projek kerajaan.

Alasannya, ketua-ketua per­lu memperoleh lebih wang dan peluang bagi membolehkan mereka mempertahankan kemenangan parti dan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang.

Cadangan Abdul Rashid itu mendapat reaksi pelbagai daripada perwakilan sehinggakan gamat dewan persidangan seketika.

Cadangan Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu itu yang merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya ditentang hebat oleh Armada, sayap pemuda parti dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Malah, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memberi mesej jelas bahawa pemimpin yang terlibat dalam salah laku tanpa kira kedudukan akan ‘diuruskan’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mungkinkah untuk men­gelak lebih banyak isu dan ‘kelemahan’ Bersatu terdedah, maka sesi perbahasan sepanjang persida­ngan ditutup kepada media?

Apapun, ucapan pe­mim­pin-pemimpin Bersatu dalam sesi penggulungan mendedahkan sedikit sebanyak wajah sebenar sebahagian anggota parti itu.

Pada ketika Dr. Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berulang kali memperkatakan soal integriti, keikhlasan dan sedia berkorban dalam perjuangan, ada ahli dan pemimpin Bersatu berpendapat sebaliknya dengan alasan memastikan kelangsungan parti yang baru berusia dua tahun itu.

Mungkin juga mereka berpendapat, mereka layak dan hanya inilah masanya iaitu selagi jawatan Perdana Menteri disandang oleh Pengerusi mereka. Jika tidak sekarang, bila lagi?

Pada mereka, niatnya baik namun ibarat pepatah “niat tidak menghalalkan cara”. Dibimbangi akan wujud ke­tidakadilan dan salah guna kuasa di peringkat pelaksana­an, di sebalik pe­negasan pu­-
cuk pimpinan Bersatu khususnya Dr. Mahathir, penga­gihan sebarang projek kerajaan dibuat berdasarkan merit, tiada diskriminasi.

Apa yang pasti, melihat kepada reaksi perwakilan terhadap isu-isu yang dibahaskan secara tertutup, perhimpunan kali kedua itu mendedah­kan wujudnya puak da­lam Bersatu. Sejauh mana Dr. Mahathir dan Muhyiddin dapat menyelesaikan, hanya waktu yang menentukannya.

Bersatu perlu membukti­kan bahawa mereka yang menjadi sebahagian daripa­da kerajaan Pakatan Harapan, benar-benar bersatu, be­ramanah dan bermaruah, tiga ungkapan yang menjadi tagline parti itu.