Seperti tahun-tahun se­be­lumnya, melalui ‘bajet mimpi’ itu, mereka mengemukakan pelbagai tawaran kepada rak­yat, kononnya bagi menunjuk­kan apa juga yang akan dibentangkan Perdana Menteri dua hari selepas itu tidak akan mampu menan­dingi ‘bajet mimpi’ mereka.

Oleh itu, apabila Perdana Menteri dengan tenang dan penuh ceria membentangkan bajet yang dianggap paling kom­prehensif dan menyelu­ruh­, melibatkan seluruh lapisan masyarakat, Pakatan Harapan bagaikan ‘kera kena belacan’.

Maka terpancul kata-kata dari­pada pemimpin mere­ka­ termasuklah Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahahthir Mohamad yang me­nyifatkan, Bajet 2018 oleh Najib meniru bajet pakatan pembangkang tersebut.

Ternyata sekali Dr. Maha­thir sudah tidak keruan kerana Perdana Menteri yang dianggap ‘musuh politik nombor satunya’ berjaya membentangkan satu bajet yang tidak mampu dilakukannya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Seperti juga Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin pem­bang­kang lain termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali turut tumpang semangkuk dengan menterjemahkan sikap ‘lembu punya susu sapi dapat nama’ apabila mendakwa pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor adalah hasil perjuangan Pakatan Harapan.

Tidak apalah biarlah pe­mimpin-pemimpin seperti Dr. Mahathir dan Mohamed Azmin mahu terus ‘meroyan’ atau berkata apa sahaja, tetapi yang pasti Najib membuktikan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) bukanlah saudagar mimpi mahupun pemborong janji.

Sebaliknya, kerajaan BN membentangkan satu bajet­ rea­­liti yang terbukti akan memberi manfaat besar kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan tidak menghitung siapa yang memerintah sesebuah negeri.

Meneliti satu demi satu, apa yang dibentangkan Perdana Menteri hampir dua jam setengah di Dewan Rakyat, biarpun terus diganggu dengan ‘telatah’ ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bagaikan ‘kanak-kanak tadika’, ia membuktikan kerajaan BN benar-benar mahu memastikan Bajet 2018 akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat, tidak kira sama ada di desa mahupun kota, di bandar mahupun luar bandar.

Dari bayi yang bakal dilahirkan hinggalah warga emas, semua mendapat manfaat da­lam Bajet 2018, begitu juga penjawat awam dan swasta, yang bekerja sendiri mahupun makan gaji.

Oleh itu, biarlah Pakatan Harapan terus dengan mainan politik, terus bermimpi dan janji-janji kosong mereka, apa yang pasti Perdana Menteri membuktikan dalam membela nasib rakyat dan memajukan negara, kerajaan BN tidak pandai mencipta mimpi dan menabur janji tetapi hanya menghidangkan realiti.