Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kewujudan koperasi seperti itu masih kecil di negara ini, walaupun beberapa negara maju seperti Jepun, Korea, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) telah lama mempraktikkan langkah itu.

Menurutnya, Angkasa sedia membantu pihak-pihak kilang atau mana-mana pemain industri yang mahu menubuhkan koperasi bagi merancakkan lagi sektor tersebut.

"Penglibatan pekerja kilang misalnya dalam keahlian koperasi akan memberi banyak manfaat kepada mereka selain dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.

"Penubuhan koperasi di kilang-kilang mungkin boleh dikembangkan dengan perniagaan seperti tempat asuhan kanak-kanak, pusat tuisyen dan kedai runcit yang memudahkan pekerja dan kakitangan kilang selain lama-kelamaan mampu menawarkan pula pinjaman peribadi atau perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Angkasa Kedah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jalan Kota, di sini hari ini.

Pada majlis sama, satu memorandum persefahaman antara Angkasa dan Koperasi Kakitangan Kumpulan Syarikat Dr. Azizan Kedah Berhad (Kokusda) dimeterai untuk meneroka beberapa peluang baharu di negeri ini.

Sementara itu, Abdul Fattah memaklumkan, Angkasa negeri dipelawa oleh Jabatan Mineral dan Geosains untuk terlibat sama dalam projek pembangunan berasaskan pelancongan di bawah kerangka Geopark Jerai yang membabitkan keluasan kira-kira 800 kilometer persegi.

"Ia termasuk empat buah pulau serta 25 tempat dan lokasi di bawah kerangka itu yang secara tidak langsung boleh meningkatkan perolehan koperasi dan ahli sendiri yang terlibat.

"Setakat ini, kita menjangkakan sekurang-kurangnya 20 buah koperasi tempatan berpeluang menyertai projek itu mengikut kepakaran masing-masing, selain kejayaannya juga mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk peluang kerja," ujarnya.

Kata beliau, program secara usahasama dengan beberapa agensi kerajaan dan pihak berkaitan itu juga merupakan projek berimpak tinggi kelima diteroka Angkasa di negeri ini selain projek ladang solar dan tanaman jagung bijirin.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilikan bangunan komersial oleh pihak koperasi disasarkan mencecah RM2.1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang setelah mencatatkan peningkatan pembelian bangunan kira-kira 37 peratus setakat ini. -UTUSAN ONLINE