Baharuddin yang berpangkat Sarjan Mejar dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, Pahang dipilih dalam kalangan 10 individu yang disenarai pendek oleh para Dato’ Lembaga Delapan luak tersebut.

Seramai 30 orang waris Kemin telah memohon jawatan itu melalui Dato’ Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun di Telapak Kemin Bemban.

Yang turut hadir, Dato’ Ombi Pangkal Maharajalela, Kadin Kidam; Mohd. Nordin; Dato’ Senara Angsa, Rosli Mohd Zain; Dato’ Paduka Menti Abdul Aziz Zaini dan wakil Dato’ Cincang, Raja Maizani Shah Raja Musa.

Selepas pengisytiharan itu dibuat, Ibu Soko, Azimah Idris telah menyerahkan tanda rupa kepada Baharuddin iaitu tengkolok, keris, al-Quran dan tepak sireh.

Sementara itu, Kadin berkata, para Dato’ Lembaga luak berkenaan akan menyerahkan laporan mengenai pengisytiharan itu kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan secepat mungkin.

“Kami berharap dewan ini akan meneliti dan memberi pertimbangan sebaik-baiknya.

“Kami amat yakin dengan kebijaksanaan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ahli dewan ini dalam membuat keputusan yang tepat dan terbaik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE