Bukan sahaja kali pertama dianjurkan di bawah pentadbiran kerajaan baharu, malah lokasinya juga diubah ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang sangat strategik di tengah-tengah pusat ibu kota. Pastinya menarik tumpuan ramai berbanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ini.

Seperti penganjuran sebelumnya, pengamal media sudah tentu teruja untuk membuat liputan. Menemu bual qari serta qariah yang bertanding, khususnya dari luar negara seterusnya berkongsi hasil temu bual tersebut dengan masyarakat terutama yang mengikuti majlis tersebut.

Dengan pengalaman penganjuran selama berpuluh tahun dan lokasi berprestij pada kali ini, tinggi harapan pengamal media untuk mendapat kerjasama sebaiknya daripada penganjur, bagi mempromosikan majlis tersebut selain memberikan liputan terbaik.

Namun nampaknya harapan tinggal harapan. Walaupun dengan pengalaman berpuluh tahun menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran, pengurusan penganjur masih gagal memahami kehendak petugas media menyampaikan laporan kepada masyarakat umum.

Pelbagai ‘kerenah’ terpaksa dilayan pengamal media. Daripada teruja untuk membuat liputan, menjadi bosan dan tawar hati. Malah ada pengamal media yang sudah tidak mahu membuat liputan.

Mengapa terlalu susah memberi kerjasama? Ya, sememangnya majlis ini disiarkan secara langsung di kaca televisyen, malah itulah yang berlaku saban tahun.

Tetapi, cerita-cerita di belakang tabir terutamanya qari dan qariah dari negara bukan majoriti penganut Islam tentunya menarik untuk dikongsikan bersama masyarakat.

Malangnya, usaha menemu bual peserta terlibat sering kali berhadapan pelbagai ‘kerenah’. Pengurusan majlis seolah-olah tiada perancangan teliti dan seperti tidak memahami keperluan petugas media.

Bukanlah meminta simpati atau dibentangkan permaidani merah tetapi cuba letakkan diri anda dalam situasi ini; persetujuan dicapai sehari sebelum temu bual bersama peserta diadakan pukul 11 pagi, tetapi waktu baharu ditukar kepada 8.30 pagi dengan hanya dimaklumkan kepada pengamal media kurang daripada sejam!

Budaya ‘petik nama’ atau menuding jari kepada pihak lain juga masih berlaku secara berleluasa, yang akhirnya menyebabkan pengamal media menjadi mangsa ‘terpaksa’ melayan kerenah tidak profesional tersebut.

Dalam era Malaysia baharu, sepatutnya situasi ini tidak berlaku. Bukan mengharapkan kesempurnaan, tetapi cukup untuk saling memahami tugas masing-masing. Pengamal media bukan meminta lebih, hanya mahukan kerjasama supaya dapat memberikan liputan terbaik.

Tidak merugikan pun memberi kerjasama kerana akhirnya yang akan mendapat nama baik ialah penganjur, yang akan dipuji ialah penganjur, media hanya membantu menyampaikan laporan-laporan terbaik majlis sahaja. - UTUSAN ONLINE