Istiadat pemasyhuran pelantikan itu selaras dengan Perkara 28, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan Tengku Sarafudin menggantikan ayahandanya, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menaiki takhta sebagai Sultan Kedah ekoran kemangkatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah September lalu.


Pengisytiharan pemasyhuran dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, di hadapan Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.


Tengku Sarafudin, 50, yang juga anakanda sulung Sultan Kedah, melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan keadilan malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Kedah.


Tengku Sarafudin kemudian melafaz sumpah dan menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda yang turut disaksikan Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah.


Sultan Kedah kemudian berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan istiadat itu disusuli dengan paluan nobat dan sembilan das tembakan meriam.


Sempena istiadat itu, baginda juga berkenan menganugerahkan Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Tengku Sarafudin.


Tidak lama selepas itu, adinda Tengku Sarafudin, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, 47, diisytiharkan sebagai Tunku Laksamana Kedah yang baharu.


Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang kemudian membaca doa bagi memohon keberkatan majlis.


Istiadat pemasyhuran itu turut dihadiri Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan beberapa kerabat Diraja lain.-UTUSAN ONLINE