Menurut laporan The Sun Daily, Chan Hao Shan, 19, bercita-cita menjadi doktor apabila ibunya menghidap kanser payudara ketika dia berusia lapan tahun.

Situasi itu mendorong remaja berkenaan mempelajari mengenai struktur tubuh manusia dan fungsi-fungsi organnya.

“Saya amat berminat dengan fungsi-fungsi tubuh manusia. Sebagai contoh, saya ada rasa ingin tahu apa sebenarnya berlaku pada tekak manusia apabila menelan sesuatu,” jelas laporan portal itu yang memetik Hao Shan sebagai berkata dalam satu temubual di akhbar Sin Chew, baru-baru ini.

Disebabkan kepintarannya, ibu bapa remaja itu memindahkan dia ke sekolah antarabangsa selepas tiga tahun menuntut di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di sini.

Dia menghabiskan masa dua bulan mempela­jari silibus tingkatan satu dan dua serta dua bulan lagi bagi silibus tingkatan tiga dan ‘O’ Level. Malah dia menamatkan pembe­lajaran sekolah menengah dalam masa setahun.

Pada usia 14 tahun, Hao Shan mengikuti Program Matrikulasi Australia (AUSMAT) di sebuah kolej swasta dan menamatkan pengajiannya dalam masa setahun.

Menurut laporan itu, selepas menamatkan MBBS, Hao Shan bercadang melanjutkan pengajiannya untuk menjadi doktor pakar.

 

Nor Syahairah harumkan nama Malaysia di Warsaw

WARSAW 10 Julai – Kerja keras Dr. Nor Syahairah Mohd. Nor Norul membuahkan hasil apabila pelajar perubatan dari Malaysia itu menerima anugerah'Golden Graduation' bagi kecemerlangan akademik dan pencapaian luar biasa daripada Medical University of Warsaw, Poland.
Beliau muncul pelajar terbaik perubatan dalam kalangan lebih 70 pelajar antarabangsa dari Kesatuan Eropah, negara Timur Tengah dan Malaysia.
Dua lagi pelajar Malaysia, Dr. Nur Aini Sharkhan dan Dr. Mohamad Amirul Akram Mashum juga antara pelajar yang memperoleh markah tertinggi.
Rektor Warsaw Medical University, Prof. Dr. Miiroslaqw Wieglos, yang juga anggota Polish Academy of Medical Sciences, mengesahkan bahawa tiga pelajar perubatan dari Malaysia itu adalah antara 10 pelajar yang memperoleh markah tertinggi, dengan pingat emas diraih Dr. Nor Syahairah.
“Ini bermakna sepanjang enam tahun pengajian mereka, kesemua pelajar ini memperoleh markah tertinggi terus menerus,” katanya.
Majlis penyampaian anugerah turut dihadiri Duta Malaysia di Poland, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dan Pengarah MARA berpejabat di Frankfurt, Ahmad Fadhli Mohd Naim.
Ketika mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pelajar ber­kenaan, Fadil turut memuji tujuh pelajar Malaysia dalam kumpulan sama kerana berjaya memperoleh ijazah perubatan mereka.
Beliau menyifatkan pencapaian para pelajar itu sebagai satu kebanggaan bagi Malaysia dan mencerminkan persediaan negara ke arah Transformasi Nasional 2050.
Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, 10 pelajar berkenaan merupakan kumpulan pertama yang menamatkan pengajian diWarsaw Medical University di bawah biasiswa MARA.
Kumpulan kedua terdiri daripada 21 pelajar akan memperoleh ijazah mereka pada 2018. Dr. Nor Syahairah menamatkan program International Baccalaureate beliau di Kolej Persediaan MARA,Seremban pada 2009 sebelum meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Warsaw. – BERNAMA