Mengakui isu tersebut meng­gemparkan negara ketika itu, Amy mengakui perkara tersebut terpaksa dilakukan demi menjaga periuk nasi mereka.

“Kami telah membuktikan isu rambut bukan ada kena mengena dengan isu moral seperti yang dibangkitkan. Padahal nama Search sedang meniti populariti ketika itu.

“Lagu Isabella bukan sahaja popular di Malaysia malah sampai ke Indonesia. Semua orang tahu perkara itu tetapi isu rambut juga dipandang berat,” katanya mengimbau kenangan.

Amy mengulas imbasan 80 tahun Utusan Malaysia, “Rockers menangis rambut dipotong menteri”, menceritakan detik beliau bersama kumpulan Search dan Wings dipotong rambut atas arahan kerajaan pada 1992.

Katanya, ketika itu kebanyakan kumpulan rock yang degil sudah digam daripada program televisyen dan lagu mereka juga tidak dimainkan di radio.

Kemuncaknya apabila permit konsert pula tidak diberikan sehingga memaksa mereka akur kepada arahan kerajaan untuk memotong rambut.

“Tak ada program televi­syen dan radio tak mengapa lagi tapi jangan tak ada konsert memandangkan itu adalah ma­ta pencarian kami.

“Jadi atas desakan tersebut kami akur. Padahal dalam hati tetap mengatakan yang isu rambut adalah isu kecil sahaja,” tambahnya lagi.

Menurutnya, beberapa sya­rikat gergasi yang biasanya menjadi penaja kepada konsert rock menarik di­ri sehingga membuatkan mo­mentum rock berkurangan se­dikit demi sedikit.

Bagi Datuk Awie pula, apa yang berlaku ketika itu memberikan impak yang sangat besar kepada kerjaya mereka sebagai sebuah kumpulan.

Jelasnya, kerana isu rambut peluang mereka untuk muncul dalam rancangan televisyen, radio mahupun kon­sert tertutup serta-merta.

“Bila masalah kian memuncak, mat rock berambut panjang sudah tiada peluang lagi. Hanya penyanyi berambut pendek sahaja diberikan peluang ketika itu.

“Mahu tak mahu kami ter­paksa akur dengan keada­an bila persembahan makin ku­rang. Perut masih perlu diisi dan akhirnya kami mengalah membenarkan menteri memotong rambut,” jelasnya.

Paling mengharukan apabila air matanya tumpah saat rambutnya dipotong dan disaksikan banyak pihak ketika itu.

Meskipun peristiwa tersebut sudah berlaku puluhan tahun yang lalu, Awie menegaskan yang isu rambut bukanlah isu utama yang sepatutnya dibangkitkan.

Jelasnya mereka yang berimej rambut panjang belum boleh dianggap jahat dan prinsip itu dipegang sehingga ke hari ini.