Demikian luahan Md Azhar Hasbullah, 48, bapa kepada pelajar Malaysia, Amirul Ashraff, 22, yang maut selepas tergelincir dari tingkat 23 pangsapuri kediamannya di Sydney, Australia, semalam.

Menurut Md Azhar, Amirul merupakan anak sulung daripada tiga beradik, pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di University Technology of Sydney.

Katanya, anaknya dijangka tamat pelajaran serta pulang ke tanah air pada Februari depan.

Jelasnya, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya yang kali terakhir menghubunginya melalui telefon pada 30 Julai lalu.

"Ketika itu sambutan hari jadi dia dan dia

kedengaran seperti biasa sahaja.

"Saya terkejut apabila semalam pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) hubungi memaklumkan anak saya terjatuh dari pangsapuri kediamannya dan meninggal dunia. Luluh hati saya," katanya.

Dia ditemui di kediamannya di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tekah, di sini hari ini.

Md Azhar berkata, Mara memberikan tawaran kepadanya untuk membawanya ke Sydney bagi menguruskan jenazah Amirul Ashraff namun dia menolak atas faktor kesihatan.

Katanya, dia juga tidak sanggup ke Sydney kerana masih lemah selepas mendapat perkhabaran bahawa anak sulungnya sudah tiada.

"Biarlah saya duduk di sini menunggu jenazahnya dibawa pulang. Saya harap jenazah Amirul Ashraff dapat dibawa pulang segera," katanya. - UTUSAN ONLINE