LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Tyhe berkata, tindakan segera perlu dilakukan kerana perbuatan tersebut berisiko menyebabkan perlanggaran undang-undang sehingga mampu mengganggu ketenteraman awam.

Menurutnya lagi, kini api kebencian dan kemarahan semakin membara akibat isu-isu sensitif malah pelbagai insiden dieksploitasi walaupun tidak berkaitan dengan etnik dan kaum.


“Pada masa ini tiada undang-undang khusus untuk menangani ucapan kebencian di negara ini walaupun terdapat peruntukan umum yang boleh digunakan untuk menangani elemen kebencian tertentu.

“Sebagai contoh di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan menjadi kesalahan jika seseorang itu menggunakan alasan agama untuk menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan atau benci membenci. Pindaan kemudian dibuat untuk memperkemaskan seksyen ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Malaysia seharusnya mencontohi negara-negara lain yang telah memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani isu tersebut.

“Undang-undang tersebut juga harus menjamin kebebasan bersuara secara konstruktif dan pada masa yang sama membela hak golongan minoriti dari segi kaum, agama dan juga jantina,” katanya. - UTUSAN ONLINE