Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menegaskan, sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di Malaysia.

"Kita menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf LGBT di negara ini selaras pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang jelas mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sama jenis

"Pendirian sama juga turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosikan LGBT di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nordin, Jakim merasa kesal dengan tindakan sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur semalam yang menyokong golongan LGBT di negara ini.

Sehubungan itu, beliau mengesa mana-mana pihak agar tidak cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam dengan perjuangan tersebut.

"Jakim komited menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan dan pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Semalam, telah berlangsung satu perhimpunan di Dataran Merdeka apabila terdapat pihak didakwa melaungkan slogan seperti “Hidup LGBT” dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu. - UTUSAN ONLINE