IPOH 6 Ogos 2019 - AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib. Gambar / Wartawan Sayed Hesyam Idris

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, ini kerana kedua-dua agensi itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula, namun pekebun-pekebun kecil sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan.

Beliau menegaskan, tujuan kerajaan terdahulu memberi bantuan tanam semula ialah untuk memastikan bekalan sawit dan getah tidak hanya dimonopoli oleh syarikat besar.

“Bantuan itu juga bertujuan menjana kewangan golongan berpendapatan rendah, mengelakkan tanah terbiar dan bagi memastikan bekalan sawit dan getah tidak berkurangan atau terputus,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, di bawah kerajaan BN, Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif.

“Majoriti besar pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula.

“Apabila penawaran bekalan sawit berkurangan, harga komoditi itu dijangka meningkat namun ia hanya menguntungkan syarikat yang mempunyai ladang dan modal besar yang kebanyakannya berdaftar di bursa saham serta pemegang sahamnya majoriti bukan bumiputera,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Khusairi mendakwa keputusan kerajaan itu seolah-olah bertujuan melumpuhkan aktiviti penanaman sawit dalam kalangan pekebun kecil .

Ujarnya, pembatalan skim yang diperkenalkan oleh Kerajaan BN sebelum ini mahu melonjakkan keuntungan kepada syarikat besar namun membunuh aktiviti ekonomi pekebun kecil sawit.

“Rata-rata pekebun kecil ini adalah bumiputera Melayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak, sebilangan kecilnya kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.

“Pembatalan bantuan tanam semula sudah pasti akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun kecil dan akan menurunkan kapasiti bekalan bahan mentah itu di pasaran,” ulasnya. -UTUSAN ONLINE