Beliau berkata, kegiatan tersebut bermula secara kecil-kecilan sejak tahun 2004, namun tiada tindakan diambil sebelum ini.

Berikutan itu, katanya, sebuah jawatankuasa yang dianggotai beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Daerah Port Dickson ditubuhkan bagi menangani isu tersebut.

“Ada satu tempat (ternakan babi), bilangan tak besar tapi boleh kawal. Saya mahu lihat bagaimana perkara itu berlaku, sudah lama tapi tiada tindakan.

“Kita juga lihat ada beberapa tempat penyembelihan haram, kerajaan negeri memang tak benarkan kawasan itu. Kita nak tangani secara harmoni. Kita serah kepada jawatankuasa untuk bincang sebelum bawa kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas isu pencemaran sungai di Kampung Baru Site A, Port Dickson dipercayai ada kaitan dengan aktiviti ternakan dan penyembelihan babi dan katak yang dikesan di kawasan berkenaan pada 31 Mac lalu.

Kerajaan negeri melarang penternakan babi selepas ratusan penduduk di Bukit Pelanduk, Port Dickson meninggal dunia ekoran wabak Japanese Encephalitis (JE) pada 1998.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pencemaran itu hanya melibatkan satu kawasan sungai, namun langkah awal akan diambil bagi mengelaknya merebak dan berulang pada masa akan datang.

Katanya, ia juga tidak akan menjejaskan industri pelancongan kerana kawasan berkenaan terletak jauh dari lokasi tumpuan pelancong di Port Dickson. - UTUSAN ONLINE